Teks Penuh Ucapan Laporan Laksana Ke-2 Pencapaian Pelaksanaan Pakej PRIHATIN (21 April 2020)

Dikemaskini pada

UCAPAN YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

MENTERI KEWANGAN

LAPORAN LAKSANA KEDUA PELAKSANAAN PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAYAT (PRIHATIN)

21 April 2020

  

  1. Assalamualaikum WBT dan salam hormat. Terima kasih kepada semua kerana bersama dengan saya pada hari ini. Saya berharap saudara-saudari di rumah dalam keadaan
  2. Kita sekarang dalam Fasa ke-3 PKP. Alhamdulillah, berdasarkan pengumuman terkini Kementerian Kesihatan, kita boleh mula nampak tanda-tanda pulih hasil pematuhan PKP. InshaAllah, moga kita semua terus tabah dalam tahap kritikal ini, dan terus memainkan peranan masing-masing untuk memerangi Covid-19.
  3. Saudara dan saudari yang dikasihi, pada hari ini, saya ingin berkongsi Laporan Ke-2 status pelaksanaan Pakej PRIHATIN. Ada 3 perkara utama yang ingin saya sampaikan:
  4. Pertama sekali, saya ingin memberi fokus kepada status pelaksanaan bantuan yang berkaitan dengan Matlamat Kedua PRIHATIN iaitu “Sokong Perniagaan” dan Matlamat Ketiga, “Perkukuh Ekonomi”. Perniagaan, terutamanya yang dijalankan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS, serta perniagaan- mikro, merupakan tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dengan sumbangan hampir 40% kepada KDNK negara dan menjana lebih 7 juta pekerjaan, Kerajaan amat komited untuk menyokong perniagaan dalam keadaan yang mencabar ini. Saya faham bahawa ramai rakyat mungkin kehilangan pekerjaan jika PKS tidak mendapat bantuan yang sewajarnya. Ini adalah keadaan yang kita mesti elak.
  5. Sehubungan itu, izinkan saya berkongsi status pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah matlamat ini.
  6. Pertama sekali adalah berhubung Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia. Daripada 3 bilion yang disediakan, sehingga 15 April 2020, pinjaman sebanyak RM2.7 bilion untuk lebih 5,000 PKS dengan kadar faedah 3.5% telah diluluskan oleh bank-bank domestik yang terlibat. Ini adalah peningkatan daripada RM1.5 bilion untuk 3,000 PKS daripada minggu lalu. Dengan jaminan kerajaan sehingga 80%, saya yakin ini akan mendorong bank untuk mempermudahkan kelulusan permohonan pinjaman dan kelulusan akan terus meningkat dalam minggu yang akan datang. Saya berharap kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima. Bagi yang berminat untuk memohon, bolehlah menghubungi mana-mana bank tempatan untuk panduan lanjut.
  7. Bantuan kedua adalah berkenaan subsidi upah. Dalam laporan saya minggu lalu, permohonan adalah 31,000 majikan dan 299,000 pekerja. Sukacita saya berkongsi bahawa sehingga 19 April 2020, jumlah permohonan telah diluluskan kepada 159,000 majikan (iaitu hampir 5 kali ganda) melibatkan hampir 1 juta pekerja. Jumlah subsidi yang diluluskan bernilai RM1.2 bilion. Bayaran subsidi telah bermula minggu lalu kepada majikan yang lulus.
  8. Bantuan ketiga adalah pinjaman skim kredit-mikro. Daripada RM700 juta peruntukan yang disediakan kepada BSN dan TEKUN Nasional dan ditawarkan pada kadar faedah 0%, sehingga 17 April 2020, lebih RM45 juta diluluskan untuk 1,500 perniagaan mikro. Daripada keseluruhan perniagaan mikro yang telah menerima kemudahan ini, hampir 900 perniagaan adalah di bawah skim Bank Simpanan Nasional dan lebih 600 di bawah TEKUN Nasional. Saya berharap lebih ramai peniaga mikro akan memohon dan mereka boleh menghubungi BSN dan TEKUN Nasional untuk bantuan yang diperlukan.
  9. Bantuan keempat adalah Geran Khas PRIHATIN khusus untuk perniagaan mikro. Permohonan akan dibuka mulai 1 Mei 2020 dan diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perniagaan mikro yang layak akan mendapat RM3,000 setiap satu.
  10. Pada kesempatan ini juga, saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Nasihat Majikan atau Employer Advisory Services di bawah KWSP akan dibuka untuk permohonan mulai 24 April 2020. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk PKS yang layak untuk menangguhkan caruman majikan Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan. Kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 billion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa PKP dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.
  11. Perkara kedua yang ingin saya kongsi adalah berkenaan status pelaksanaan langkah di bawah matlamat pertama PRIHATIN iaitu ‘Lindungi Rakyat’.
    1. Pertama sekali adalah berkenaan Bantuan Prihatin Nasional ataupun BPN. Pada 17 April, kemudahan menerima pembayaran BPN secara tunai telah dibuka dan cawangan-cawangan BSN juga dibuka pada hujung minggu lalu untuk memudahkan penerima tersebut. Ia dikhususkan kepada lebih kurang 400,000 rakyat Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah (ataupun B40) yang tidak ada akaun bank berdaftar dengan LHDN. Bagi yang belum mendapat bayaran tunai tersebut, jangan risau kerana kemudahan ini dibuka sehingga 31 Disember 2020.
    2. Saya amat tersentuh hati melihat pegawai-pegawai BSN yang bertugas dengan penuh dedikasi; ada yang membantu mengambil cop jari di dalam kereta ahli keluarga penerima BPN yang tidak boleh berdiri atau berjalan; ada yang menyediakan kerusi kepada mereka yang penat beratur agar memberi keselesaan; dan ada yang memberi air mineral secara percuma kepada mereka yang menunggu.
    3. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pegawai BSN kerana menjalankan tugasan dengan penuh amanah. Terima kasih kami kepada BSN dan juga LHDN merupakan nadi kepada kejayaan pelaksanaan BPN. Tidak dilupakan juga, anggota Polis dan ahli RELA kerana memastikan penjarakkan sosial dan arahan keselamatan dipatuhi. Terima Kasih.
    4. Kerajaan akan sedaya upaya memudahkan akses kepada bantuan yang diperlukan rakyat. Bagi mereka di rumah yang masih menghadapi masalah mendapat BPN atau mana-mana bantuan PRIHATIN, bolehlah hubungi unit LAKSANA di talian Hotline yang disediakan atau melalui emel di mk@treasury.gov.my atau prihatin@treasury.gov.my.
    5. Dalam jangka masa panjang, Kerajaan akan memastikan institusi perbankan negara terus tingkatkan usaha memastikan setiap lapisan masyarat mempunyai akses kepada akaun We must protect and serve the unbanked and the underserved. Let us explore digital solutions to overcome this challenge.
    6. Saya juga ingin berkongsi sedikit perkembangan terkini pelaksanaan BPN:
      • Sehingga 19 April 2020, sebanyak RM480 juta telah dikredit ke dalam akaun bank 2 juta penerima BPN golongan M40.
      • Secara keseluruhannya di bawah fasa pertama BPN, lebih 2 bilion telah dibayar kepada 7.6 juta penerima.
      • Fasa kedua pembayaran dijangka bermula pada bulan Mei 2020.
    7. Selain itu, saya percaya ramai rakyat yang bertanya, “bilakah permohonan baharu dan rayuan BPN akan diumumkan?”. Saya berharap saudara-saudari di rumah dapat bersabar sedikit lagi. Sehingga 20 April 2020, lebih 3 juta permohonan baharu dan rayuan telah diterima. Pegawai di LHDN sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengesah dan menyemak maklumat. InshaAllah, bayaran untuk saudara-saudari akan dapat dibuat pada bulan Mei yang akan datang.
  12. Bagi untuk pemandu e-hailing pula, bayaran sebanyak RM500 seorang kepada lebih kurang 90,000 pemandu e-hailing sepenuh telah bermula pada 20
  13. Bagi langkah i-Lestari di bawah KWSP, sehingga 17 April, 2.8 juta permohonan telah diterima dan hampir 5 juta permohonan telah pun diluluskan setakat ini (iaitu tambahan lebih 300,000 permohonan daripada minggu lalu). Kesemua ini melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM702 juta untuk bulan Mei 2020.
  14. Di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11% kepada 7%. Namun, pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau 8% pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka. Manakala bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna (atau disposable income) kepada mereka pada bulan April ini.
  15. Seterusnya, perkara ketiga – dan terakhir — yang saya ingin berkongsi, adalah berkenaan beberapa isu berbangkit yang telah berjaya diselesaikan:
    • Isu pertama adalah  berkenaan  Bantuan  Khas Kewangan sebanyak RM500. Pada asalnya, peruntukan diluluskan untuk 1.4 juta penjawat awam dan 900,000 pesara. Kerajaan menerima maklum balas mengenai veteran angkatan tentera berstatus bukan berpencen yang tercicir daripada menerima bantuan ini. Sehubungan itu, sukacita saya berkongsi, bahawa, Kerajaan telah memanjangkan bantuan ini kepada 180,000 veteran angkatan tentera bukan berpencen. Pemanjangan bantuan ini adalah selaras dengan semangat pakej PRIHATIN iaitu “tiada sesiapapun akan tercicir” atau “no one is left behind”.
    • Isu kedua adalah berkenaan elaun bulanan khas untuk petugas barisan hadapan. Media melaporkan terdapat petugas barisan hadapan yang menghadapi masalah menuntut elaun tersebut kerana penetapan kriteria dan proses permohonan yang ketat. Kami mengambil maklum, dan setelah dipertimbangkan semula, Kementerian Kesihatan telah bersetuju untuk memudahcarakan prosedur dan menurunkan kuasa pengesahan elaun tersebut kepada ketua jabatan masing-masing.
    • Isu terakhir adalah berkenaan pelaksanaan projek berskala kecil. Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM4 bilion untuk menyokong perniagaan yang terkesan oleh Covid-19. Sukacita saya berkongsi bahawa kerajaan akan mempercepatkan penyediaan dokumentasi projek dan memulakan proses cabut undi dalam talian dengan memastikan kontraktor mempunyai peluang yang sama rata, serta menurunkan punca kuasa mengeluarkan surat kebenaran beroperasi untuk projek kecil G1-G2 kepada agensi pelaksana. Adalah diharap selepas tamatnya PKP, syarikat-syarikat bersedia untuk melaksanakan projek berskala kecil ini dengan serta merta demi manfaat rakyat.
  16. Penyelesaian isu-isu ini adalah selaras dengan janji saya sebagai Menteri Kewangan bahawa “Kerajaan Mendengar”. Susulan ucapan saya pada minggu lalu, Kementerian telah menerima beribu-ribu emel, panggilan telefon dan maklumbalas daripada media sosial, berkenaan pelbagai
  17. Kemungkin ada masanya kita terlewat menjawab atau terlepas pandang soalan dan maklumbalas saudara dan saudari, saya memohon maaf jika ia berlaku. Yakinlah, kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan setiap aduan dan Kerajaan amat mengalu-alukan soalan dan maklumbalas anda semua.
  18. We are a government that We always welcome feedback and will do our best for the people and businesses, for the sake of the nation and the economy.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

  1. Saya berharap pendekatan terbuka perkongsian status pelaksanaan Pakej PRIHATIN ini akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat akan keikhlasan usaha yang diambil oleh Kerajaan untuk memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh yang mencabar
  2. Saya yakin kita akan memenangi peperangan ini.
  3. Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan kareem. Kita menyambut kedatangan bulan yang paling mulia ini dalam keadaan yang serba berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Walau apapun, saya mendoakan agar semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan dapat menunaikan ibadah dengan sabar dan sempurna.
  4. Sekian sahaja daripada saya. Sehingga kita berjumpa lagi minggu depan.
  5. Assalamualaikum WBT dan salam hormat. Terima Kasih.

 

TAMAT

 

Untuk memuat turun teks ucapan penuh, KLIK DISINI.

818 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *