Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dikurnia Tokoh Maal Hijrah 1442H

Dikemaskini pada

Bertemakan “Ummah Rabbani, Negara Harmoni” Maal Hijrah tahun ini disambut dalam skala kecil ketika situasi umat Islam dan seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah di Masjid Negara.


Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, peristiwa hijrah Rasulullah SAW harus dijadikan pedoman yang tidak ternilai dan ia menterjemahkan erti sebuah perjuangan.

“Moga dengan semangat hijrah ini, kita jelmakan dalam mengharungi hari-hari mendatang dengan norma baharu yang berbeza dengan hari-hari sebelumnya.”

“Bagi insan yang bercirikan rabbani, semua itu tetap cekal digagahi demi mencapai redha Illahi.”

“Maka Maal Hijrah pada tahun ini disambut dengan bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.”

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Tokoh Maal Hijrah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

 

Anugerah itu, sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pengorbanan beliau, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Melalui penganugerahan itu, Tan Sri Dr. Noor Hisham menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan pingat, serta sijil penghargaan daripada kerajaan Malaysia selain wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Ubaidi.

Manakala Syeikh Al Azhar Al Syarif, Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam selain diiktiraf di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Ia juga berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman tokoh yang luas, mempunyai peribadi yang unggul serta pakar dalam bidang diceburi.

Turut diadakan, tahlil dan doa selamat serta diakhiri dengan bacaan doa akhir dan awal tahun oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni.

 

Sumber: Portal Berita RTM

Foto: Facebook Istana Negara

522 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *