“Raya Stail Kite” Gaya Konsert Norma Baharu

Dikemaskini pada

KEMERIAHAN konsert sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap diteruskan di Unit Hiburan TV Radio Televisyen (RTM) pada tahun ini. Konsert yang menjadi tradisi tahunan ini tetap dinanti-nantikan oleh peminat setianya yang tersendiri.

Raya Stail Kite adalah judul yang dipilih untuk menambahkan lagi kemeriahan perayaan besar yang disambut umat Islam sedunia. Konsert ini bersiaran pada Isnin, 25 Mei yang lalu di TV2. Rancangan khas Hari Raya Aidilfitri ini turut bersiaran langsung di Facebook, Hiburan TV RTM secara serentak pada masa yang sama.

Barisan artis popular yang terlibat terdiri daripada Dato’ Jamal Abdillah bersama anaknya, Osama Yamani, Syafiq Farhain, Farah Hazel, Ayai, Liza Hanim, Senario, Hafiz Suip, Wany Hasrita, Farawahida, Ezad Lazim dan Drama Band.

Gabungan tiga juara produk RTM iaitu Juara Bintang RTM 2018, Hariz Fayahet, Juara Bintang Klasik 2019, Shazreen dan Juara Bintang Kecil 2019, Adik Qasrina Putri Adriana, Adik Rudy Naib Juara Bintang Kecil 2019 menyemarakkan kemeriahan konsert.

Raya Stail Kite turut menampilkan Band Humanoid selain pentas diserikan lagi dengan tarian daripada penari On Stage Production.

Buat julung kalinya, pihak penerbitan bersetuju untuk membawa pelakon handalan Fauziah Nawi dan Dato’ Badli Shah Bin Alauddin, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang bergabung dalam satu pentas menerusi program ini.

Konsert Raya Stail Kita dikendalikan oleh empat pengacara yang terdiri daripada Raja Azura, Aril Pilus, Fiza Frizzy dan Sonic Hussein. Kesemua mereka ini yang bakal meriuhkan lagi malam 2 Syawal anda pada Isnin depan. Saksikan sahaja keletah masing-masing yang pasti akan mencuit hati anda di rumah nanti.

 

Norma Baharu

Ada yang bertanya kepada saya, apa rasional memilih judul Raya Stail Kite itu. Pasti ada yang beranggapan mengapa judul rancangan yang kedengaran seperti ala-ala hipster itu diketengahkan.

Ya, saya akui pemilihan judul tersebut adalah lebih santai. Tapi percayalah ia amat bertepatan dan bersesuaian dengan sambutan lebaran yang diraikan seluruh umat Islam sedunia, tatkala kita semua berdepan dengan wabak penyakit Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Pandemik yang tercetus itu secara tidak langsung telah mengubah cara, budaya dan rutin kerja harian setiap seorang daripada kita. Menjadikan juga kita mencipta atmosfera perayaan kita mengikut stail masing-masing. Semua ini dibuat sejajar dengan inisiatif dan seruan kerajaan dalam mengawal penularan wabak merbahaya ini. Kita semua kini meraikan lebaran dengan gaya tersendiri. Pandemik yang tercetus menyebabkan kita semua meraikan Harai Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan norma baharu.

Dari sudut lain, norma baharu ini menyebabkan setiap daripada kita bergantung dengan teknologi canggih masa kini untuk menyuntik kemeriahan Syawal. Banyak momen istimewa yang bakal dan telah tercipta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Ia turut menyaksikan banyak pihak termasuklah Unit Hiburan TV RTM mencipta stail sendiri dalam menyemarakkan Hari Raya Aidilfitri.

Benar, setiap seorang daripada kita amat terkesan dengan cara sambutan perayaan besar bagi umat Islam waktu ini. Perubahan paling ketara adalah kita tidak boleh bersalam-salaman, memohon kemaafan antara satu sama lain seperti mana kebiasaan pada pagi 1 Syawal. Jauh sekali untuk melepaskan kerinduan dengan ibu bapa dan keluarga di kampung. Buat perantau di ibu kota, pasti suasana baharu ini sukar untuk diserap.

Secara peribadi, saya juga tidak terkecuali berasa rindu dengan kampung halaman, mahu memeluk seerat-eratnya orang tua dan bergerak bebas tanpa sekatan. Tapi apakan daya, tak mengapalah. Saya akur dengan peraturan semasa. Keadaan sambutan Hari Raya Aidilfitri masa kini tidak sama seperti dahulu. Itu juga pendorong utama untuk kita mencipta momen lebaran, stail kita sendiri pada tahun ini.

Apa yang paling penting, kita semua sama-sama dapat menjiwai nikmat dan matlamat utama sambutan Syawal itu sendiri, kan? Percayalah, keluhuran hati untuk saling bermaafan paling penting. Barulah Hari Raya Aidilfitri lebih bererti. Nyata kebergantungan kepada teknologi canggih masa kini sedikit sebanyak membantu menyemarakkan kemeriahan Syawal. Lebaran tetap disambut dengan gembira oleh semua. Walaupun barangkali suasananya tidak sama sebab tidak dapat berinteraksi secara langsung, ada yang kata kurang ‘feel’ beraya tahun ini tidak sama seperti dulu, tapi sekurang-kurangnya masih ada cara alternatif untuk menyambut perayaan ini.

Inilah baru Raya Stail Kite seperti mana yang ingin ditampilkan dalam program Unit Hiburan RTM buat semua penonton pada Hari Raya Aidilfitri ini. Raya tetap raya!

 

Kongsi Lima Rasa

Untuk melengkapkan suasana lebaran dalam norma baharu, komunikasi menjadi perkara utama yang perlu perlu dititikberatkan.  Gajet yang diperlukan adalah telefon bimbit, komputer riba atau Ipad. Rangkaian internet dan talian telekomunikasi yang stabil juga amat diperlukan untuk membuat panggilan video dengan ahli keluarga, rakan taulan dan sahabat handai tanpa batasan.

Gabungan teknologi semasa itu kemudiannya mencetuskan idea untuk membahagikan Raya Stail Kite dalam lima segmen tersendiri. Masing-masing mempunyai perkongsian yang bermanfaat buat semua. Pembahagian segmen itu terdiri daripada Segmen Kesyukuran, Segmen Jauh Tapi Dekat, Segmen Kemaafan, Segmen Keindahan Syawal dan Segmen Kemenangan menjadi intipati kepada keseluruhan rancangan.

Setiap satu segmen bertema agar lagu-lagu yang disampaikan lebih terkesan di halwa telinga pendengar. Mudah kata, setiap lagu yang dipilih mengikut tema segmen yang dibuat. Barulah feel untuk beraya itu datang secara semula jadi. Turut diselang-selikan dengan sisipan kliping yang berkaitan penggunaan teknologi masa kini.

Tidak ketinggalan, ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada barisan hadapan yang banyak berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan orang ramai.  Setulus kasih buat warga Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan kepakaran dan dalam usaha mengawal keselamatan dalam negara.

Seiring dengan kegilaan anak muda masa kini, saksikan klip videp Tik Tok, anak-anak sampul duit raya dan gabungan persembahan artis-artis muda dan lejen ternama  Malaysia.

 

Lebih Istimewa

Tahun ini Unit Hiburan TV RTM meluahkan rasa bangga apabila buat julung kalinya stesyen televisyen ini dapat menerbitkan enam lagu baharu bersempena Hari Raya Aidilfitri. Kesemua lagu ini juga akan diperdengarkan dalam Konsert Raya Stail Kite selain menampilkan lagu-lagu lebaran yang lain.

Kami amat berbesar hati dengan pembabitan komposer ternama seperti LY Baiduri, Wan Sham, Kusham & Zaira serta Yuri menerusi projek istimewa ini. Pasti ramai yang ternanti-nantikan apa keistimewaan lagu-lagu yang menjadi pilihan ini. Yang pasti, kesemuanya mampu menghidupkan semangat lebaran dalam jiwa anda.

LY Baiduri mempertaruhkan lagu berjudul Cahaya Aidilfitri yang dinyanyikan Hafiz Suip. Begitu juga dengan lagu berjudul Raikan Aidilfitri nyanyian Wany Hasrita.

Lagu Dah Raya dendangan duet penyanyi Farawahida dan Ezad Lazim apa kurangnya. Lagu ini dicipta Wan Sham bersama lagu Maaf Ku Tak Pulang oleh Farah Hazel.

Kusham & Zaira tidak mengecewakan dengan lagu solo ciptaannya khusus buat projek ini berjdul Rahmat Syawal yang dinyanyikan Liza Hanim.

Penyanyi hebat kelahiran Johor, Ayai turut tidak ketinggalan menyanyikan lagu ciptaan komposer Yuri berjudul Salam Raya Daripada Anakanda.

 

Terima Kasih

Secara kesimpulannya, Konsert Raya Stail Kite ini tidak mampu direalisasikan tanpa bantuan rakan-rakan seperjuangan daripada Unit Hiburan TV RTM.  Rasa takzim kasih didedikasikan buat bos kesayangan, Ellia Norni Ellias selaku Penolong Pengarah Hiburan TV yang juga Penerbit Eksekutif untuk Konsert Raya Stail Kite.

Begitu juga dengan team penerbitan yang terdiri daripada Abdul Rahman Mahadi selaku Penerbit Bersama, Ahmad Zainddin Abdullah (Penulis Skrip) dan juga Penolong Penerbit Tengku Freya Azmir, Nitasha Nozmi, Amzar Anaqi Md. Rozziki dan Johnson Sinnapan.

Tidak ketinggalan juga buat Pembantu Penerbitan, Azlan Ahmad dan Hazwani Zulkefli yang sanggup bersengkang mata dalam memastikan Konsert Raya Stail Kite berada dalam tahap kepuasan maksimum.

Saya juga ingin berterima kasih kepada Penerbit Teknik Lampu, Mohd. Yunus Ismail dan Pereka Set, Siti Salmi Said. Begitu juga Penerbit Teknik (Muhamad Salleh Ramlan dan Ahmad Najib Saleh) dan seluruh tenaga kerja Raya Stail Kite kerana kerjasama yang dibuat dan berkongsi kreativiti dan masing-masing.

Buat rakan-rakan seperjuangan Nor Kuzaimah Abd Aziz aka Oja, Sarena Mohd. Salleh, Rashidah Ali, Alfarizal Hassan, Fadlina Ahmad, Yang Faziatun dan Mohamed Faez Zainal, terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini.

Buat penonton semua, teruskan menyokong produk Unit Hiburan TV RTM. Walaupun kemeriahan Syawal pada tahun ini tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, itu tidak bermakna Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak ada ummph. Carilah titik keseronokan dalam meraikan lebaran mulia ini.

Akhir sekali, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan menyusun 10 jari memohon kemaafan kepada semua jika ada kekurangan daripada kami, Unit Hiburan TV RTM sepanjang kami bersiaran.

Jadikan Syawal ini sebagai permulaan kepada penyucian jiwa dan perjuangan dalam usaha membuat kebaikan antara satu sama lain. Semoga kita semua sama-sama dirahmati oleh Yang Maha Esa.

Salam bertaut kasih buat semua,

 

Ain Sabrina On

Penerbit Unit Hiburan TV RTM

 

3,351 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *