Keluh Kesah Di Sebalik Kejayaan Konsert Kita Punya 2Puluh2Puluh@RTM

Dikemaskini pada

Pada saat tiba-tiba pentas diserbu peminat dalam satu insiden malam tahun baharu lalu, jantung seakan-akan berhenti. Nafas tiba-tiba tidak menentu.

“Aduh, bala apa pula ini. Habislah punah Malaysia Book Of Records aku,” desis hati sebaik melihat semakin ramai peminat menghampiri pentas Konsert Kita Punya 2Puluh 2Puluh @ RTM malam itu.

Perasaan bertambah panik melihat sekumpulan peminat itu sudah berada di anak tangga ke-8. Terbutang mata melihat langkah mereka semakin laju, semakin dekat menghampiri pentas utama, oh no!

Serentak dengan itu, kelihatan semua penolong penerbit bertindak cepat mengepung kawasan. Kena buat macam itu. Kalau tidak, semakin ramai peminat menyerbu naik ke kawasan pentas.

Itu lah detik cemas, saat terakhir sebelum Konsert Kita Punya 2puluh2puluh mencipta sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBR).

Jika salah langkah, ribuan peminat yang membanjiri pentas boleh menjejaskan perjalanan keseluruhan konsert. Mengenangkan sudah banyak usaha, kerja keras dan keringat mengalir demi menjayakan konsert itu, waktu itu apa yang boleh buat adalah berdoa agar tak ada apa-apa yang buruk berlaku.

Lebih sebulan team produksi bertungkus lumus menjayakan konsert ini. Sejak awal Disember 2019, Penerbit, Sarena Mohd. Salleh sudah tidak boleh tidur bagi memastikan segala keperluan dan kelainan untuk ditampilkan dalam siri konsert berjalan lancar.  Dan Alhamdulillah penonton memberi kerjasama yang baik dan keadaan terkawal hingga akhir rancangan.

 

Memang kita punya!

Konsert Kita Punya 2Puluh 2Puluh @ RTM yang berlangsung pada 31 Disember 2019 itu banyak signifikannya. Kejayaan konsert itu bukan untuk memenuhi kepuasan peribadi sendiri semata-mata. Ia bersifat kolektif dan impaknya membabitkan semua team produksi, pemuzik dan jenama RTM itu sendiri.

Keunikan konsert pada malam itu terletak kepada pembabitan 30 band tempatan, 139 pemuzik yang berlangsung 15 minit bermain muzik tanpa henti secara serentak.

Kelainan Konsert kali ini adalah pembinaan pentas paling panjang iaitu 180 kaki dan di bina 2 tingkat.Ia direka khas untuk keselesaan artis dan pemuzik.  Gabungan idea penerbit Sarena Mohd Salleh dan pereka set Noramin Hamzah berjaya menampilkan kelainan dan menjadikan pentas ini antara pentas terbaik bagi tahun 2019.  Persembahan mala mini berjaya memaku perhatian 80,000 penonton yang membanjiri Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pertama kali Penerbit datang dan membentangkan idea mengenai konsep Kita Punya 2puluh2puluh saya yakin ada sesuatu yang menarik dalam konsep tersebut.  Selepas berbincang hari ke hari maka kami bersetuju untuk memberi kelainan dan kejutan untuk di kenang pada tahun 2020.  Dengan itu lahirlah idea untuk mencipta sejarah dalam Malaysian Book Of Records.  Why Not?  Maka bermulalah pertemuan demi pertemuan untuk mendapat restu dan sokongan antara pihak Unit Hiburan dengan pihak atasan seperti Ketua Pengarah Penyiaran, Ketua Setiausaha KKMM dan pihak MBR. Alhamdulillah usaha dan hasrat kami mendapat sokongan 100% daripada semua pihak. Terima kasih kepada rakan seperjuangan Alex Reza yang sama-sama penat berusaha hingga tahap ini.

Penentuan untuk  mendapat pengiktirafan dalam MBR dinilai bermula dari pukul 12.45 pagi hingga 1.00 pagi. Benar, 15 minit saja.  Tapi, 15 minit itu diisi dengan perasaan yang sangat cemas. Kali ini, saya memang tak boleh duduk setempat. Dalam kepala asyik tertanya-tanya, bolehkah team produksi mendapatkan pengiktirafan itu?

Walau bagaimanapun, degupan jantung itu semakin mereda sebaik persembahan artis berakhir. Saya seolah-olah yakin pengiktirafan daripada MBR itu pasti milik kami.

Dua orang Pegawai MBR dari awal mengikuti persembahan sehingga tamat dan meneliti setiap helaian rekaan dan kedudukan 30 band, nama band dan nama ahli kumpulan band.  Selepas berpuas hati dengan penelitian dan isyarat berjaya diberikan, masa itu, saya betul-betul menarik nafas lega.

Akhirnya Konsert Kita Punya 2Puluh 2Puluh mendapat pengiktirafan dalam MBR sebagai Persembahan Band Paling Banyak Secara Serentak Dalam Konsert Siaran Langsung.

Penyerahan sijil tersebut diterima oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Suriani Datuk Ahmad bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Puan Nor Yahati Awang.

Konsert itu juga dicatatkan sebagai program terbaik untuk keseluruhan program Unit Hiburan TV, RTM dan juga penutup bagi tahun 2019.

Konsert Kita Punya 2Puluh 2Puluh yang bersiaran langsung di TV2 itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).  DBKL bertanggungjawab menyediakan keperluan tambahan untuk merealisasikan konsert tersebut. Segala urusan teknikal, peralatan muzik untuk 30 band dibantu mereka.

Konsert tersebut bersiaran secara langsung selama 210 minit atau 3 jam setengah menampilkan Datuk AC Mizal dan DJ Sonic sebagai pengacara.

Terima kasih kepada semua band yang terlibat dan memberi komitment yang sangat baik.  Band yang membuat persembahan malam itu Dato’ Awie & Dragon Malaya, Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Floor 88, Paladin, Gerhana Ska Cinta, Cakam, The Times, Joanna N Co, Subculture, Uncure,          Azarra band, Treehill, Iqbal M, 7 Days,    Pesawat, Super Massive, Reuz, Humanoid Band, Strike Out, Offnote, The Skittles, Mellifluous, Six G, Oh Chentaku, Grey Sky Morning, Kapow, Bonafides dan Faculty Of Joy.

Buat Sarena Mohd Salleh, teruskan usaha dalam melahirkan program-program hiburan terbaik buat RTM.  Semoga tahun 2020 lebih baik daripada tahun sebelumnya.  Ini baru permulaan.  Terus melangkah lebih baik.

Pembabitan dan kesungguhan semua team dalam sama-sama menjayakan Konsert Kita Punya 2Puluh 2Puluh @ RTM tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Kepada pasukan penerbitan yang membantu menjayakan konsert ini iaitu Rashidah Ali, Alfarizal Hassan, Fadlina Ahmad, Yang Faziatun, Mohamad Faez Zainal, Tengku Freya Azmir, Mohd Faiz Najib, Siti Fatimah Ismail, Amzar Anaqi Md Roziki, Mohamad Izzat Ismail, Kasturi Devi, Hizbullah Othman, Azlan Ahmad, Nur Hazwani Zulkifli dan Suriya Hani Yaacob manakala Penerbit Teknik – Fauzi Hashim dan Zaini Hashim terima kasih tidak terhingga, sampai kita berjumpa lagi.

 

Ellia Norni Ellias

Penolong Pengarah Hiburan TV

Radio Televisyen Malaysia (RTM)

747 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *