Selebriti Skrin Kecil RTM

Dikemaskini pada

Sejak saban tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 tetap setia menyediakan khidmat jurubahasa isyarat dalam siaran Berita Perdana bagi memudahkan golongan pekak untuk sama-sama mendapat intipati daripasa siaran berita tersebut.

Penampilan wajah penyampai bahasa isyarat pada sudut kecil di skrin televisyen ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan RTM malah keprihatinan keraajaan seluruhnya kepada segenap anggota masyarakat termasuk golongan yang cacat pendengaran.

Tahun 2020, RTM terus komited untuk mencari pelapis-pelapis baharu untuk berkhidmat kepada masyarakat supaya usaha ini tidak akan terhenti begitu sahaja. Chew Kai Mun, Syar Meeze Mohd Rashid dan Hafidah Awaludin merupakan muka-muka baru yang akan terus menabur bakti kepada masyarakat terutama golongan istimewa.

Chew Kai Mun

Chew Kai Mun (40) atau lebih mesra disapa Samuel Chew berpengalaman selama 18 tahun sebagai jurubahasa isyarat Malaysia dan International Sign (IS) di peringkat antarabangsa. Berkelulusan Ijazah Kedoktoran (Linguistik Bahasa Isyarat) dari Chinese Universiti Of Hong Kong, Sam juga pernah menjadi Penyelidik Bahasa Isyarat di sana. Menurut Sam, beliau mula mengikuti kelas bahasa isyarat di YMCA, Kuala Lumpur sekitar tahun 2000 dan telah mempelajari bahasa isyarat Malaysia selama tiga tahun sebelum mula berkhidmat di peringkat komuniti.

“Pengalaman manis saya sepanjang menjadi jurubahasa isyarat adalah dapat menjadi perantara dua budaya yang amat berlainan dan diberi amanat untuk menggunakan suara saya untuk memperjuangkan hak orang Pekak di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN),” kongsinya.

Berkongsi pengalaman pahitnya pula apabila dia pernah menyebabkan sekumpulan orang pekak terkandas di Pulau Tioman pada Ogos, 2002 akibat tertinggal feri kerana kecuaiannya dalam menterjemahkan maklumat yang tepat kepada ketua rombongan semasa mula-mula menjadi seorang jurubahasa sukarela.

Syar Meeze Abdul Rashid

Mula berminat dan mempelajari bahasa isyarat sejak alam remaja mendorong Syar Meeze Mohd Rashid (30) untuk menabur bakti kepada golongan yang memerlukan. Pemuda lulusan Ijazah Sarjana Falsafah (Latihan Keguruan dan Pendidikan Sains), Universiti Malaya (UM) ini kini berkhidmat sepenuh masa sebagai Pensyarah Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pernah menjadi jurubahasa isyarat peribadi kepada rakan baiknya sewaktu menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menjadi titik permulaan untuk beliau mengasah bakat sebagai jurubahasa isyarat. Turut mengikuti kursus-kursus anjuran persatuan pekak dan di situlah beliau belajar kemahiran tersebut dengan lebih mendalam.

“Saya masih ingat lagi saya pernah dihalau dan dikatakan biadap oleh seorang pakcik kerana menterjemah seorang ustaz dalam sebuah ceramah Israk Mikraj di sebuah masjid. Ketika itu hampir 20 orang pekak datang. Beliau mengatakan saya biadab dan tidak menghormati ustaz yang sedang berceramah,” ujarnya semasa berkongsi cabaran yang dihadapinya sebagai jurubahasa isyarat.

Beliau juga pernah diundang oleh RTM untuk menterjemahkan khutbah Jumaat di TV1 dan juga beberapa program dari syarikat swasta. Turut sering diundang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menterjemahkan ucapan amanat daripada Menteri Pendidikan.

Rafidah Awaludin

“Sebelum ini saya selalu bertemu dengan orang pekak dan rasa tertarik dan teruja ingin berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa isyarat. Sejak itu saya mula mempelajari asas bahasa isyarat dan budaya orang pekak selama tiga bulan di Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD). Dalam masa yang sama saya juga mengambil kursus Diploma Jurubahasa Isyarat,” kata Fida yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai jurubahasa isyarat di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Rafidah Awaludin (47) pernah menjadi guru di Sekolah Khas Wisma Harapan sebelum terjun dalam kerjaya jurubahasa isyarat. Beliau memilih kerjaya sebagai jurubahasa isyarat kerana minat dan ingin membantu komuniti Pekak termasuk suaminya sendiri sebagai jambatan komunikasi dengan orang bukan Pekak. Beliau juga boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Menurut Fida, perbendaharaan kata yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa menjadi cabaran utama beliau untuk memproses makna sesuatu perkataan untuk diterjemah ke bahasa isyarat.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang menjadi jurubahasa isyarat, beliau pernah diberi peluang ke luar negara untuk memberi khidmat sebagai jurubahasa isyarat dan “Voice Over” kepada golongan Pekak bagi membentangkan bajet Rancangan Malaysia ke-8 (RMK8) di Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Selain Chew Kai Mun, Syar Meeze dan Hafidah, RTM memiliki tiga lagi jurubahasa isyarat iaitu Tan Lee Bee, Khairunnisa dan Zuraidah.

3,490 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *