Tuah “Masyorokot” Syairul Islam

Dikemaskini pada

KUALA LUMPUR: Nama pembaca berita RTM, Syairul Islam, 21, menjadi sebutan gara-gara tersasul ketika kali pertama membuat laporan berita bagi program Selamat Pagi Malaysia pada Januari lalu.

Ketika itu, Syairul atau nama sebenarnya, Muhammad Syairul Islam Basmullah tersasul menyebut perkataan masyarakat menjadi ‘masyorokot’ kerana terlalu gementar.

Bagaimanapun, pembaca berita yang juga pengacara program Selamat Pagi Malaysia itu lega apabila video laporannya hanya disiarkan di media sosial, tidak disiarkan secara langsung di kaca TV.

“Saya tidak rasa kelakar langsung ketika tersasul, malah perasaan malu menguasai diri. Lebih lagi, saya dikelilingi kenamaan dan mereka yang berpangkat besar.

“Syukur, rakaman ini tidak disiarkan secara langsung di kaca TV. Alhamdulillah, saya sudah dapat menyebut perkataan masyarakat dengan lancar selepas beberapa kali rakaman.

“Bagaimanapun, saya tetap berdepan dengan beberapa insiden yang melucukan selepas itu,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia tidak pernah terfikir ada yang mengenalinya selepas insiden tersasul berkenaan.

“Saya lihat ada pelanggan memerhatikan saya ketika masuk ke sebuah restoran. Menyedari kehadiran saya ada yang mengajuk perkataan ‘masyorokot’.

“Ada satu lagi insiden, saya ke kedai runcit untuk membeli barang. Penjaga kaunter itu dengan selamba mengajuk, tetapi saya tidak marah diejek.

“Hingga kini, saya perhatikan tiada netizen yang mengecam, sebaliknya ramai memberi komen positif dan membina,” katanya.

Sekali pun menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah politeknik, Syairul tidak kisah dengan cabaran dunia penyiaran yang diterokai sejak tahun lalu.

“Saya bangga menjadi angkatan baharu di RTM. Selain wartawan lokasi dan pembaca berita RTM, saya diberi amanah sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia.

“Malah, saya juga ada program sendiri iaitu Lensa IPT yang disiarkan setiap Sabtu jam 3 petang di saluran berita Myfreeview 123.

“Jujurnya, saya ingin mencari pengalaman dan sekadar suka-suka hadir uji bakat, tetapi dimensi baharu ini berubah menjadi sumber periuk nasi,” katanya.

Sekalipun ada yang beranggapan dia boleh mencari rezeki di stesen televisyen yang lebih komersial, Syairul mempunyai pandangan sendiri.

“Saya percaya RTM menjadi platform terbaik untuk menimba ilmu. Saya tiada tiada pengalaman langsung dalam dunia penyiaran, jadi pengalaman boleh membantu saya.

“Saya bekerja bukan mahu mencari nama, tetapi ia adalah soal tanggungjawab. Saya mahu menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.

 

Oleh Zaidi Mohamad – Berita Harian Online

655 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *