RTM Sebagai Media Rasmi

Dikemaskini pada

Jabatan Penyiaran Malaysia lebih dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia atau RTM adalah sebuah jabatan kerajaan yang berfungsi mendokong segala dasar yang digariskan oleh kerajaan yang memerintah.

Sebagai lidah rasmi kerajaan dan agensi paling dipercayai sekarang, RTM harus berusaha mengekalkan kepercayaan masyarakat dan menjadi sumberi rujukan untuk mendapatkan maklumat yang sahih.

RTM seharusnya diberi peranan perantara semua agensi kerajaan dengan rakyat dalam menyampaikan maklumat kerajaan dalam erti kata lain jabatan dan agensi kerajaan harus menggunakan RTM sebagai penyalur maklumat rasmi.

Semua maklumat yang hendak disampaikan harus menggunakan saluran RTM yang paling dipercayai pada masa kini. RTM sumber maklumat yang benar dan sebagai rujukan kepada rakyat untuk mendapat sebarang penjelasan terhadap kekeliruan yang ditimbulkan oleh media sosial yang penuh dengan berita palsu dan fitnah.

Untuk mendapatkan maklumat rasmi tentang permulaan Ramadhan dan tarikh 1 Syawal, orang ramai akan merujuk kepada RTM sebagai media rasmi jadi kenapa tidak dalam hal lain juga RTM dijadikan sumber rujukan.

Dalam dunia tanpa sempadan dengan maklumat dihujung jari rakyat perlukan sebuah agensi atau satu saluran rujukan tentang kesahihan berita dan maklumat yang mereka terima setiap hari. Sumber rujukan yang berwibawa akan menjadi penapis agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.

Sehubungan dengan itu, RTM perlu dinobatkan kembali sebagai jurucakap rasmi kerajaan dengan semua agensi kerajaan mengutamakan RTM sebagai saluran penyampaian maklumat. Agensi kerajaan tidak perlu mengharapkan agensi media lain untuk menyampaikan maklumat tetapi boleh menjadikan media lain sebagai pelengkap kepada RTM.

Dalam erti kata lain segala maklumat harus disampaikan menerusi RTM dan badan media lain boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui RTM. RTM sebagai media rasmi pembekal bahan berita kepada pihak lain sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Sebagai sebuah jabatan yang mendapat peruntukan daripada kerajaan, RTM tidak seharusnya mengenakan bayaran kepada agensi kerajaan yang lain yang perlukan publisiti atau hebahan tentang program mereka. Bagaimanapun RTM harus disediakan peruntukan yang lebih kerana terpaksa menanggung kos daripada segi teknikal dan bayaran kerja lebih masa kakitangannya ketika mengadakan program bersama.

RTM harus dikembalikan fungsi asal penubuhannya sebagai jurucakap rasmi kerajaan. Sumber rujukan rakyat terhadap sebarang maklumat yang meragukan. Hanya yang sahih daripada RTM.

 

Mohamad Mat Hussin
Mantan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa

 

733 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *