Rancang Melancong? Ikuti Perkongsian Lokasi Mengujakan Dalam Travelog “Buku Travel” di TV1

Dikemaskini pada

 

Mengharapkan pendemik Covid-19 yang masih melanda seluruh dunia sekarang segera berlalu, pastinya dalam kalangan penggemar aktiviti kembara sudah tidak sabar lagi untuk memulakan misi jelajah masing-masing samada ada dalam atau luar negara.

Untuk itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan program diberi tajuk “Buku Travel” mulai 2 November ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 1.30 tengah hari di TV1. Arja Lee yang dipilih sebagai hos program ini mengembara bersama-sama penulis buku travelog yang mahir dengan 13 buah destinasi pengembaraan serta penerangan tentang keunikan dan sejarah sesuatu tempat di Asia Tenggara.

Episod pertamanya menonjolkan hos Arja Lee, bersama-sama dengan Meor Farid Asyradi, penulis buku travelog bagi negara Kemboja dan Vietnam, mengunjungi beberapa tapak pelancongan di negara Kemboja dalam episod ini. Mereka melawat “Royal Palace, Phnom Penh”, yang merupakan kompleks bangunan yang berfungsi sebagai kediaman diraja Kemboja dan “Choeung Ek Genocide Center”, tapak kubur mangsa Khmer Rouge yang diseksa dan dibunuh secara kejam.

Seterusnya mengembara ke beberapa tapak pelancongan di negara Kemboja. Antara tempat yang dikunjungi adalah “Central Market”, “Riverside Phnom Penh”, “Night Market Phnom Penh”, Masjid Al-Serkal, dan “Tuol Sleng Genocide Museum”, sebuah bekas sekolah menengah yang digunakan sebagai Penjara Keamanan 21 oleh rejim askar Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979.

Sebelum hos dan Meor bertolak ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam, mereka singgah di Kampung Perahu, Kemboja. Penduduk di sini tinggal di atas perahu dan kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. Seterusnya, mereka ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Berikutnya program ini mengunjungi destinasi pelancongan di Indonesia bersama-sama Cik Siti Noridah. Mereka ke Candi Arjuna yang berlokasi di Dieng Kulon, Indonesia, sebuah bangunan candi Hindu dan ke Kawah Sikidang yang terletak di Yogyakarta. Dalam episod lima, mereka mengunjungi Wonosobo Asri membeli makanan tempatan dan cenderahati. Seterusnya, berkunjung ke Lawang Sewu (pejabat Syarikat PT Kereta Api Indonesia). Mereka juga solat di Masjid Agung Jawa Tengah sebelum menuju ke Alunalun Kota Semarang. Masih di Indonesia, mereka ke tempat pelancongan seperti Keraton Ngayoyakarta Hadiningrat, Hutan Pinus, Alun-alun Selatan, dan Masjid Besar Mataram.

Menarik turut dikongsikan kembara mereka ke Thailand bersama-sama dengan Badrul Hisyam, penulis buku travelog bagi negara Thailand. Keistimewaan jadual perjalanan pelancongan mereka adalah melancong sambil berbasikal ke setiap destinasi pelancongan di Thailand. Perjalanan berbasikal sambil menikmati keindahan pemandangan alam sekitar. Badrul Hisyam juga memperkenalkan sebuah kedai “City Bike” di Bangkok. Selain itu, mereka juga berkunjung ke “Chatuchak Market”, “Pratunam” dan “Grand Palace”.

Perjalanan diteruskan ke Hua Hin dengan menaiki kereta api selama enam jam. Mereka menunggang basikal ke Pantai Hua Hin, Raja Bhakti Park dan Night Market Hua Hin. Mereka juga diberikan peluang untuk menyertai latihan Muay Thai. Seterusnya, mereka mengikut perjalanan darat ke Hatyai dan Wat Hat Yai Nai.

Program pengembaraan ini turut memaparkan keunikan tapak pelancongan di Indonesia seperti Air Terjun Lembah Anai di Tanah Datar Regency, Sumatera Barat. Mereka juga mencuba pakaian perkahwinan bagi kaum Minangkabau di Pusat Dokumentasi & Informasi Kebudayaan Minangkabau. Kemudian, mereka menuju ke Taman Panorama dan Lobang Jepang di Jalan Panorama Bukit Tinggi, Sumatera Barat.

Arjaa Lee bersama-sama dengan Noridah Yunus, berkunjung ke destinasi yang seterusnya iaitu Dukun Salak, Kampung Panorama Baru di Bukit Tinggi. Mereka juga menunggang kuda di Gelanggang Bukit Ambacang, Bukit Tinggi. Paparan persembahan kaum Minangkabau yang unik turut dihuraikan. Akhirnya, mereka menuju ke Lembah Harau di mana lembah yang subur terletak di Kecamatan Harau, daerah Lima Puluh Kota, Sumatera Barat.

Dalam episod berikutnya, hos ditemani Normi Shafie, penulis buku travelog bagi Krabi, Thailand, berkayak di Long Klong Srakaew dan Tha Lane Bay. Destinasi seterusnya ialah Pantai Ao Nang yang mempunyai pemandangan yang indah. Kemudian, mereka memandu “All-Terrain Vehicle (ATV)” dan mengunjungi Wat Thumsua (kuil Buddha) sebelum mereka menuju ke pasar malam Krabi. Akhirnya, mereka berenang di Kolam Air Panas Saling.

Dalam episod akhir, hos bersama-sama dengan Normi Shafie, mengunjungi Songkhla Old Town di mana bandar ini merupakan pertemuan budaya Cina, Melayu dan Thailand. Antara tempat-tempat yang dikunjungi adalah Songkhla Tae Raek Walking Street, Shrine City Pillar, Pantai Samila, Wat Laem Pho, The Great Serpent of Ramayana dan lain-lain lagi. Mereka juga menikmati makanan laut dan ais krim kelapa.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

113 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *