Pesta Ponggal MINNALfm 2020

Dikemaskini pada

Seperti tahun lepas, tahun ini juga Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi radio MINNALfm akan mengadakan sambutan Pesta Ponggal 2020 pada 18 Januari, Sabtu ini. Program tersebut bertujuan meraikan para pendengar setia di samping mengeratkan hubungan di antara penyampai dengan pendengar.

Justeru sebagai sebuah badan penyiaran kerajaan, MINNALfm mengambil inisiatif untuk turun padang mendekati masyarakat khususnya di kawasan Puchong untuk menghargai dan mengekalkan tradisi masyarakat India di Malaysia di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan mereka.

Selaras dengan hasrat kerajaan, MINNALfm berpeluang mendekati para pendengar bagi melahirkan komuniti yang aman dan harmoni, bersefahaman, saling menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa dan agama.

Sambutan kali ini cukup berbeza kerana MINNALfm akan menghiburkan orang ramai dengan “konsert mini” yang menyajikan pelbagai persembahan tradisional antaranya tarian klasik dari SJK (T) Puchong, Batu 14, tarian Naattupuram dari SJK (T), Simpang Lima, persembahan Kolaattam dan nyanyian artis tempatan.

Turut dimeriahkan dengan permainan tradisional iaitu Uri Adithal dan Mengamyam Thoranam serta persembahan tradisional Puli Aattam, Karagaattam, Poikaal Kudhirai dan Urumi Melam sepanjang acara berlangsung.

Tahun ini sambutan Ponggal MINNALfm 2020 yang berlangsung di SJK (T) Puchong turut mengundang YB Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta barisan tetamu kehormat dari RTM, pegawai-pegawai kanan serta Puan Sumathy selaku Pengurus Stesen MINNALfm.

Seramai 900 orang pelajar termasuk 53 orang guru SJK (T) Puchong turut diraikan. MINNALfm juga mengambil peluang mempromosikan program-program kendalian   mereka salah satunya ialah Program Kanak-Kanak “Chellame Selvame” yang ke udara setiap Sabtu, 2.15 hingga 3.00 Petang di MINNALfm.

Selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara stesen dan pendengar, acara ini turut menyuntik semangat perpaduan dan cintakan adat tradisi kaum India di samping memberi peluang kepada golongan belia terutama para pelajar mengenali budaya dan tradisi masyarakat India agar tidak lapuk ditelan zaman.

594 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *