Nyanyi Dari Rumah – Komitmen Unit Hiburan TV Sepanjang PKP

Dikemaskini pada

Hiburan santai dan mesej berguna menjadi ramuan utama program hiburan terbaharu Unit Hiburan TV berjudul Nyanyi Dari Rumah (NDR) yang bermula 31 Mac lalu.  Program ini diterbitkan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menampilkan himpunan lagu yang disampaikan oleh barisan penyanyi hebat pilihan.

Tidak menumpukan soal hiburan semata-mata, program ini turut menerapkan kesedaran menangani isu wabak Covid-19 yang menjadi kebimbangan utama buat penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 1 tengah hari di TV2, penonton juga berpeluang untuk menonton waktu ulang siaran pada pukul 2.15 petang di siaran TV Okey. Seiring dengan itu, setiap episod bagi program NDR ini juga dimuat naik dalam Facebook Hiburan TV RTM.

Ada yang bertanya kenapa NDR hanya bersiaran 15 minit? Mengapa tidak setengah jam atau pun satu jam waktu siaran?  Jawapannya mudah. Ini adalah kelainan buat program ini. Kita tidak mahu penonton bosan dengan program yang terlalu panjang. 15 minit adalah tempoh waktu paling ideal untuk memberi perhatian dan tidak berganjak dari tempat duduk mereka.

Apa yang penting adalah matlamat penerbitannya bagi memastikan setiap maklumat daripada pihak kerajaan sampai kepada golongan sasaran. Artis yang ditampilkan menjadi agen penyampai kepada penonton menerusi program sebegini.

Program ini dilahirkan hasil idea pihak penerbitan selepas meminta artis merakamkan pesanan duduk di rumah sewaktu awal pelaksanaan PKP.  Semasa Perintah Kawalan Pergerakan mula-mula diumum, Unit Hiburan TV merupakan antara unit produksi yang paling sibuk menyediakan PSA atau pesanan Khidmat masyarakat daripada artis-artis kepada seluruh rakyat Malaysia.

Penyanyi hebat Dayangku Intan dan Hael Husaini antara artis yang pernah berkongsi pesanan bersama RTM sebelum ini. Mereka merakamkan sendiri pesanan dalam bentuk klip video dan menyerahkan kepada pihak penerbitan.

Bertitik-tolak dari situ dan apabila keadaan rakyat agak sedikit tenang barulah timbul idea untuk mengembangkan pesanan itu dalam satu bentuk program yang lebih bermanfaat. Ada info, hiburan dan aktiviti artis digabungkan dalam satu program untuk tatapan penonton.

Idea itu dibawa ke peringkat atasan. Nah, hasilnya, program NDR ini mendapat persetujuan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada 27 Mac 2020.

Sebaik sahaja kelulusan diterima, saya dan rakan-rakan penerbit hiburan lain terus bermesyuarat pada keesokan harinya. Tanpa menghiraukan hari mesyuarat tersebut jatuh pada hari Sabtu, setiap penerbit di Unit Hiburan TV memberi komitment 200% dengan kehadiran penuh semua Sembilan orang penerbit. Kami memerah otak merancang kandungan pada setiap epsiod. Perincian dan kepelbagaian perlu diadakan untuk setiap episod.  Setiap penerbit tanpa gagal memberi bermacam-macam idea.

Perancangan episod pertama siaran NDR ialah pada 1 April 2020 bersempena dengan Hari RTM Ke-74.  Satu lagi misi besar yang perlu kami pikul ialah menjadikan episod pertama Nyanyi Dari Rumah diterbitkan sesempurna mungkin. Seboleh-bolehnya, kita mahu mengikut standard program hiburan yang pernah diterbitkan di Unit Hiburan TV selama ini.

Dan syukur Alhamdulilah, walaupun program ini masih baharu, ia mendapat maklum balas yang cukup menggalakkan daripada penonton. Saya terharu dengan setiap komen dan sokongan padu yang diberikan penonton termasuklah pengguna media sosial.  Semua itu menyuntik semangat buat kami untuk terus menghasilkan produk yang berkualiti selepas ini. Selagi PKP tidak berakhir, kami akan terus menerbitkan program ini untuk hiburan penonton. Percayalah.

 

Kreativiti Artis

Kempen duduk di rumah ini menyuntik idea kepada pihak penerbitan untuk menghasilkan program alternatif. Sementelah semua program-program hiburan yang telah dirancang di Unit Hiburan TV ditunda, NDR adalah pilihan paling tepat.

Tanpa perlu berkumpul antara artis dengan kru mahupun orkestra untuk berjumpa atau berlatih menyanyi seperti kebiasaannya, semua kerja-kerja untuk mendapatkan bahan itu sebaliknya dilakukan secara individu. Baik di rumah atau pun di pejabat.

Artis menghasilkan karya mereka, menyanyi dan merakamkan lagu di rumah dengan gajet mereka, sementara pihak produksi di pejabat (ada yang bekerja dari rumah) menyiapkan tugasan diberikan. Dengan kata lain program NDR ini menjadikan artis itu multiskill, dialah penyanyi, dialah pengarah, dialah kameraman dan dia juga audioman.  Artis perlu memastikan bahan rakaman sempurna untuk disiarkan di kaca TV.

Selain slot nyanyian, penonton juga disajikan dengan aksi-aksi bersahaja artis sepanjang proses rakaman dibuat. Apa sahaja aktiviti yang dibuat sepanjang duduk di rumah akan turut dirakam. Bersenam, memasak, berehat, berlatih menyanyi atau apa sahaja aktiviti bersama insan tersayang menjadi sebahagian daripada pengisian program NDR yang disajikan buat penonton.

Menarik bukan? Setidak-tidaknya, masa inilah peminat dapat ‘skodeng’ melihat keadaan rumah artis kesayangan semua. Macam mana mereka mendekorasi kediaman mereka sendiri, anda boleh menilai sendiri. Amacam, best tak?

Perancangan awal NDR hanya bersiaran sebanyak 10 episod tetapi apabila PKP dilanjutkan kami memutuskan untuk bersiaran sehingga tamat PKP.  Episod pertama pada 1 April 2020 menampilkan artis Floor 88, Jaclyn Victor & Sheryl Syazwanie.  Antara artis lain yang terlibat dengan NDR seperti Wany Hasrita & Khai Bahar, Tomok, Black & Hazama, Zizi Kirana, Azmi Caliph Buskers, Sissy Iman, Aizat Amdan & Bella Astillah, Lan Typewriter & Kumpulan Paladin, Irfan Haris & Amira Othman, Naim Daniel & Ara Johari, Dato’ Fazley Yaakob, Uyaina Arshad, Muna Shahirah & Afieq Shazwan, Sarah Suhairi & Yonni Boy.

 

Cabaran

Sekadar berkongsi cerita, sebenarnya kami juga berdepan dengan debaran sewaktu menghasilkan episod pertama. Kami berdepan dengan masalah teknikal pada saat-saat akhir.

Lebih tragis lagi apabila setengah jam sebelum bersiaran, bahan ada masalah.  Sangat menduga.  Cubaan demi cubaan telah dibuat daripada pihak teknikal hingga kepada editor tetapi masih tidak berjaya hinggalah 15 minit sebelum waktu tayangan.

Memang berpeluh jugalah dibuatnya waktu itu sebab promosi program telah dibuat lebih awal dan disiarkan pun di TV. Takkanlah tak jadi pula gara-gara masalah teknikal itu. Teknikal bekerja keras bagi memastikan bahan boleh bersiaran.  15 minit sebelum pukul 1, bila teknikal angkat ibu jari tanda ‘settle’, melompat kegembiraan penerbit iaitu Oja.  Alhamdulillah siaran pertama berjalan lancar.

Sebagai permulaan, program ini memberi tumpuan kepada penyanyi baharu. Lebih tepat lagi buat penyanyi yang tahu serba-sedikit tentang teknologi rakaman menggunakan kamera telefon.

Memandangkan tiada khidmat jurukamera profesional sepanjang rakaman dibuat, kami memilih golongan penyanyi muda untuk peringkat permulaan ini.  Maklumlah rata-rata golongan ini arif dengan perkembangan teknologi semasa, tentang penggunaan gajet, sedikit sebanyak memudahkan pihak kami untuk membuat proses suntingan nanti.

Kami memerlukan rakaman dalam bentuk high definition (HD). Ini syarat utama bagi memudahkan proses suntingan nanti. Selain itu, kami memerlukan beberapa angle untuk pilihan penerbit untuk rakaman. Yang ini nanti pihak penerbitan awal-awal lagi akan brief kepada artis.  Apa pun saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada komitmen artis yang terlibat untuk NDR. Komitmen mereka juga amat tinggi untuk menjayakan program ini.

Tumpuan untuk menjayakan program ini tidak menyasarkan golongan penyanyi muda semata-mata. Penyanyi lama juga turut diberi peluang dalam program NDR ini. Barulah meriah dan variety untuk NDR kan!

Untuk menghasilkan sebuah program sebegini, ada banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Kita tak nak buat kerja asal siap semata-mata.  Sebelum sesebuah episod disiapkan, ada jalan cerita yang perlu dipertimbangkan. Ada skrip yang perlu dibuat, pemilihan lagu dan pilihan aktivititi yang mengisi keseluruhan program.

Semua guide line itu diperlukan untuk memudahkan proses suntingan. Artis yang terbabit juga perlu memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penerbitan.

Ini kerana merekalah yang menentukan keseluruhan penceritaan untuk program yang diterbitkan sebelum disiarkan. Kita mempunyai piawaian tersendiri dalam memastikan setiap bahan itu benar-benar mencapai standard yang ditetapkan.

Untuk itu, setiap penerbit Unit Hiburan TV dilihat sangat komited dalam tugasan diberikan. Mereka bekerja keras untuk menyiapkan program hinggakan terpaksa berkorban waktu rehat mereka.

Hari Sabtu dan Ahad yang sepautnya dihabiskan bersama keluarga sanggup dilepaskan begitu saja demi tugas. Mereka datang ke pejabat untuk menyelesaikan proses editing. Semua komitmen dibuat demi tugas untuk menghiburkan masyarakat.

Kami di Unit Hiburan TV akan terus memikul tanggungjawab ini untuk penonton semua. Sebagai barisan frontliners, kami juga mahu menghulurkan bakti kepada rakyat Malaysia pada saat getir sebegini walaupun sumbangan ini tidak sebesar anggota keselamatan negara.

Pun begitu, kami tidak akan jemu untuk menghidangkan kandungan terbaik untuk semua. Terus menyokong produk hiburan RTM ya! Jasa baik kalian akan dikenang sampai bila-bila. Terima kasih semua.

 

Ellia Norni Ellias

Penolong Pengarah Hiburan TV

Radio Televisyen Malaysia (RTM)

 

 

1,686 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *