Kenyataan Media – Penghargaan Kepada Warga RTM

Dikemaskini pada

KENYATAAN MEDIA

JABATAN PENYIARAN MALAYSIA

 

Angkasapuri, Kuala Lumpur, 1 Julai 2020 –Pada 25 Jun yang lalu, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan Saluran Berita RTM di Wisma Berita, Angkasapuri. Pelancaran ini merasmikan hasrat dan usaha RTM dalam memulakan sebuah saluran televisyen berkonsep niche di mana pengisian kandungan adalah khusus kepada berita dan isu hal ehwal semasa.

Perancangan saluran ini telah bermula beberapa tahun lalu sebagai usaha memperkenalkan saluran baharu, selaras dengan peralihan siaran analog ke siaran digital. Usaha menjayakan saluran ini telah mendapat kerjasama yang kukuh dalam kalangan staf RTM. Saluran ini disiarkan melalui perkhidmatan MyFreeview di Saluran 123.

Saluran Berita RTM mendapat perhatian apabila gabungannya bersama Saluran TV1 dalam pelaporan COVID-19 menjadi rujukan orang ramai. Pelaporan yang menjadi ikutan umum ini adalah hasil kerjasama staf RTM yang telah bekerja tanpa mengira masa bertugas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac yang lalu.

Sebagai Agensi Komunikasi Strategik Kerajaan, RTM merupakan salah satu perkhidmatan penting dan ramai staf bertugas seperti biasa. Pengurusan Tertinggi RTM, yang dikenali sebagai Direktorat RTM, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sumbangan dan pengorbanan staf yang bertugas demi memastikan informasi kepada rakyat sentiasa dilaporkan dengan tepat, pantas dengan semangat penuh bertanggungjawab melalui platform televisyen, radio dan media baharu.

Dalam suasana PKP, tenaga kreatif RTM telah berjaya menghasilkan pelbagai program berbentuk bual bicara, hiburan dan drama yang patuh SOP Kerajaan supaya rakyat Malaysia terhibur di samping menerima maklumat terkini dan nasihat kesihatan secara berterusan daripada Kerajaan.

Keadaan ini telah memberi cabaran kepada pasukan penerbitan dan berjaya menghasilkan kreativiti yang dapat dibanggakan. Tidak lupa juga kepada program- program yang diterbitkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Direktorat RTM berharap kerjasama dan kecekalan semangat warga RTM ini dapat diteruskan dan dilestarikan dengan penghasilan karya yang memberi informasi terkini dan hiburan kepada semua, dan memastikan RTM sentiasa menjadi Penghubung Generasi di Malaysia.

486 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *