27 Artis Bergabung Untuk Insan

Dikemaskini pada

Ada masanya keadaan sukar menyebabkan kita lebih sedar tentang perkara-perkara yang selalunya diambil mudah. Masa sukar juga buat kita jadi lebih rapat dan lebih kuat sebagai INSAN #stayathome #dudukdirumah #nyanyidirumah #togetherwestrong #covid19

Posted by Hiburan TV RTM on Sabtu, 28 Mac 2020

 

USAHA untuk memutuskan penularan dan rantaian virus Covid-19 tidak akan berhenti sampai bila-bila. Selagi pakar perubatan tidak menemukan penawar untuk menghapuskan terus wabak penyakit berkenaan di muka bumi ini, selagi itulah kita semua dalam keadaan bahaya.

Virus tidak bermata yang menyerang tanpa mengenal siapa gerangan itu amat membimbangkan setiap seorang daripada kita. Kebarangkalian untuk kita turut terkena jangkitan penyakit ini jika mengambil mudah soal kebersihan dan keselamatan penjagaan sanitasi harian.

Oleh itu, sebagai stesen penyiar rasmi perkembangan pandemik Covid-19 di Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memikul tanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran orang ramai tentang bahaya penyakit ini.

Unit Hiburan TV RTM juga tidak ketinggalan dalam menyokong usaha murni kerajaan ini dalam menggalakkan orang ramai menerapkan amalan gaya hidup norma baharu untuk urusan harian mereka. Menerusi program Nyanyi Dari Rumah (NDR) platform itu menjadi penghubung antara golongan artis dengan peminat dalam menyebarkan amalan kelaziman baharu ini secara meluas.

Soal membabitkan nyawa ini tidak harus dipandang mudah oleh manusia sejagat. Sama sekali tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana sudah pastinya tindakan sebegitu akan memberi kesan kepada individu lain.

Bertitik-tolak dari situ, timbullah idea untuk menggabungkan seramai 25 artis tempatan yang mewakili pelbagai kaum dan agama (Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak) bersatu dalam satu klip video sempena program NDR ini. Bahkan ini merupakan kali pertama Unit Hiburan TV RTM menghasilkan klip video yang membabitkan ramai artis dalam satu masa. Penyanyi lama dan baharu bergabung untuk menjayakan projek istimewa ini.

Vokalis kumpulan May, Mus membuka lagu Insan sebelum memberi laluan kepada penyanyi lain hingga ke hujung nyanyian. Ini diikuti oleh penyanyi lain seperti Azlan Typewriter, Lan Solo, Aweera, Azrul Zaidi, Bob Yusof, Syafiq Farhain, Dr. Hafiz Zainal, Hariz Fayahet, Emil Hamlyn dan Aepul Drama Band. Tidak ketinggalan Arull Sevendays, Agek Siniroi, Ameer Sofazr, Aril Pilus, Siti Sarah, Rina Azhar, Heidi, Haiza Hanafi Hashmitha Selvam, Karen Tan, Aisha Safia dan Atilia Haron.

Lagu Insan ini juga mendapat sentuhan daripada dua gitaris handalan iaitu Rody Kristal dan Oja Humamoid yang bertidak selaku penggubah lagu. Oja Humamoid juga diberi tanggungjawab untuk menjadikan versi lagu Insan ini berbeza daripada dendangan asal. Lelaki ini telah menukar gubahan lagu ini kepada akustik atau unplugged hingga menjadi sangat rasi di halwa telinga.

Kenapa Insan?

Lagu Insan nyanyian asal penyanyi Yantzen, ciptaan komposer Nathan itu diangkat sebagai tema untuk projek khas ini. Keindahan bait-bait lirik yang ditulis oleh Allahyarham Juwie itu menjadi kekuatan kepada keputusan sebulat suara memilih lagu tersebut untuk program ini. Mengikut pertimbangan saya, lagu tersebut amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dialami pada kala ini.

Barangkali ada antara kita yang sudah alpa dan leka dengan segala nikmat yang diberikan Yang Maha Esa selama ini, hingga mengabaikan segala suruhan-Nya, maka ujian ini didatangkan sebagai tanda peringatan. Maka jika diamati kembali intipati lagu Insan itu sebenarnya mahu mengajak kita semua untuk lebih dekat kepada-Nya. Sebagai hamba Yang Maha Esa, kita dilihat seolah-olah sudah terlalu leka dengan nikmat yang diberikan-Nya.

Soal kerohanian dan dalaman yang sepatutnya ditekankan telah diambil mudah dan lebih teruk lagi diabaikan oleh manusia. Maka, boleh disimpulkan bahawa ujian yang berlaku pada hari ini adalah sebagai ‘jentikan’ untuk menyedarkan manusia.

Jika diamati sekali lagi, bait-bait lagu Insan itu turut menjurus kepada hubungan manusia sesama manusia. Sifat ego, tamak dan besar diri segelintir pihak kadangkala membuatkan mereka terlupa bahawa kita memerlukan antara satu sama lain.

Ya hidup di dunia ini hanya sementara, maka tidak wajar ada sikap selfish sebegini yang menyebabkan ada antara kita yang hidup berpecah-belah demi kepentingan masing-masing.  Lebih teruk lagi apabila ada segelintir insan yang hidup tanpa arah tujuan hingga mensia-siakan apa yang dimilikinya hari ini. Ada juga yang hidup berlebih-lebihan sedangkan dalam agama sendiri menganjurkan hidup bersederhana.

Atas sebab itu, tidak salah andai Unit Hiburan TV RTM mengetengahkan peringatan ini kepada orang ramai. Tujuannya hanya satu, untuk mengajak dan memberi peringatan kepada semua manusia agar kembali hidup kepada fitrah sebenar.

 

Lirik lagu Insan

Kita adalah insan

Menumpang atas dunia

Aku dengan caraku

Yang sederhana

Kita adalah hamba

Berbakti pada Yang Esa

Aku mencari sinar

Keredhaannya

Kita sama sahaja

Bezanya cuma amalan kita

Engkau dan juga aku

Saling perlukan

Oh cinta yang murni

Sebagai ikatan

Yang kukuh di hati

Demi masa depan

Jangan dihancurkan

Hidup yang indah ini

Akibatnya merana

Jangan hancurkan

Hidup yang indah

Kita adalah hamba Yang Esa

 

Cabaran

Sebenarnya tidak mudah untuk mengumpulkan 25 artis yang popular untuk projek istimewa ini. Kita tidak mempunyai banyak masa untuk memilih selepas Oja Humanoid menyerahkan gubahan lagunya kepada pihak produksi. Dalam sehari, lagu tersebut diserahkan kepada artis melalui email ataupun aplikasi Telegram dan WhatsApp sebagai garis panduan untuk mereka merakamkan nyanyian mereka menerusi telefon bimbit.

Kesemua artis yang terbabit perlu mendengar lagu menerusi earphone masing-masing sewaktu proses rakaman. Yang kedengaran pada waktu itu hanyalah vokal semata-mata tanpa iringan muzik. Teknik rakaman ini bertujuan untuk memudahkan pihak produksi membuat lipsync sewaktu proses suntingan nanti.

Bagi pihak produksi, kita berdepan dengan cabaran utama apabila perlu mengejar deadline apabila kesemua bahan yang diterima daripada penyanyi itu perlu dilakukan di rumah. Oleh itu, segala proses seperti susunan muzik semula, rakaman video artis mengikut acuan dan garis panduan yang diinginkan pihak penerbitan.

Pada waktu ini, peranan artis yang paling penting apabila memikul tanggungjawab sebagai tenaga belakang tabir dan di hadapan tabir. Tugas mereka juga perlu memilih sudut angle kamera terbaik mereka, kena ambil tahu shot dan teknologi kamera yang digunakan. Mereka perlu memenuhi semua kriteria diberikan ini untuk melicinkan kerja-kerja pasca penerbitan. Mungkin ada antara mereka merasakan ini adalah ilmu baharu dalam kerjaya, sekurang-kurangnya dapat menghargai kerja-kerja tenaga di belakang tabir

Selain itu, saya juga berdepan dengan kekangan masa dan penggunaan teknologi telefon pintar (IT savvy). Seriau juga apabila dapat tahu ada antara artis yang terlibat berdepan dengan masalah kelajuan Internet di kawasan kediaman masing-masing. Ini kerana ada antara 27 penyanyi yang terlibat tinggal di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang lemah hingga menyukarkan proses komunikasi dan urusan penghantaran bahan. Mana tahu tiba-tiba tak jadi atau timbul masalah lain pada saat-saat akhir, memang kecut perut jugalah dibuatnya. Tapi syukur, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang pada peringkat awal.

Maka terhasillah projek istimewa lagu Insan ini sebagai kesedaran buat kita semua.  Semoga ia bermanfaat buat kita semua.

Sebelum mengakhiri tulisan, saya ingin mengucapkan terima kasih buat team produksi,  Tengku Freya, Hasalni Mohd. Alwi, Azlan Ahmad serta Izwan Ansor (editor visual) yang bertungkus-lumus menjayakan projek ini. Tanpa kerjasama daripada mereka, pasti klip video ini tidak dapat dihasilkan mengikut masa yang ditetapkan. Terima kasih atas komitmen tidak berbelah-bahagi yang diberikan sepanjang kita bekerjasama selama ini.

Daripada Insan buat insan semua.

654 Views
Jom kongsikan artikel ini!
error0
Tweet 70

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *